MyKelantanBlog SUDAH BERPINDAH!

Anda akan dibawa ke Mykelantan.net dalam masa 6 saat. Klik URL untuk terus ke
http://mykelantan.net
dan kemaskini "bookmark" anda.

Wednesday, July 14, 2010

Pusat Dakwah Jeli lahirkan insan cemerlang

Kongsi Bersama Rakan Anda Di Facebook

JELI 14 Julai - Sekiranya melalui kawasan pembinaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Politeknik Jeli, anda pasti akan melihat sepanduk yang tertera perkataan 'Janji Dikota' di samping wajah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Sepanduk itu memberikan makna yang mendalam kepada penduduk di kawasan terbabit kerana terbukti janji-janji yang dibuat oleh Ahli Parlimen Jeli itu telah dikotakan sedikit demi sedikit.

Bukan sahaja 'membawa pulang' pembangunan dari Putrajaya seperti kampus UMK, Politeknik Jeli, Jambatan Perpaduan Malaysia-Thailand dan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ), malah beliau turut merangka program dan membina pusat perkembangan bagi memastikan penduduk terutama pelajar mendapat manfaat daripada projek yang dilaksanakan.

Antara janji beliau pada Pilihan Raya Umum 2004 adalah untuk membina sebuah Pusat Dakwah Jeli (PDJ) atau lebih dikenali sebagai Pondok Moden di Jedok, Bukit Bunga untuk manfaat penduduk setempat menimba ilmu agama terutama membabitkan para pelajar bagi melahirkan modal insan yang mementingkan dunia dan akhirat.

Hasilnya, PDJ menjadi kenyataan pada 2008 atas tapak seluas 1.6 hektar yang menempatkan surau, asrama untuk lelaki dan perempuan, dewan kuliah serta kemudahan riadah.

Mudir PDJ, Ismail Jusoh berkata, pusat tersebut juga bakal dilengkapi sebuah dewan yang mampu menampung kira-kira 300 orang.

"Dewan bernilai RM300,000 itu masih dalam proses pembinaan dan dijangka siap tidak lama lagi. Mengikut perancangan, pada masa depan ia turut dilengkapi dengan rumah warga emas, kemudahan klinik serta sebuah sekolah tahfiz.

"Tumpuan utama penubuhan pusat ini bagi memberikan kesedaran kepada penduduk Jeli terutama pelajar supaya dapat mendalami ilmu agama dengan betul, sekali gus menjadikan mereka insan bertakwa yang mampu berbakti kepada agama, bangsa dan negara," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Katanya, tiga program tetap diadakan setiap minggu iaitu Kuliah Jumaat, Sehati Wanita Jeli dan Bicara Petang, selain pelbagai aktiviti lain seperti tazkirah hujung minggu dan yang terbaru Qiamullail sempena bulan Rejab.

Menurutnya, PDJ juga sering digunakan sebagai lokasi kursus-kurus kecemerlangan untuk calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

"Tok Pa selalu datang ke sini dan meninjau sendiri program yang diadakan kerana beliau mahu memastikan PDJ berjaya mencapai matlamat penubuhannya bagi melahirkan insan cemerlang," katanya.

Justeru itu, keikhlasan dan komitmen Mustapa untuk membantu rakyat negeri ini mendapatkan pendidikan sememangnya tidak dapat dipertikaikan malah sejak 1996 lagi beliau amat konsisten memberikan kelas tuisyen secara percuma kepada kanak-kanak berusia 12 tahun.

Program Tuisyen Darul Falah yang diilhamkan beliau itu amat dikenali oleh penduduk di sini tanpa mengira fahaman politik.

Penyelaras Aktiviti Pendidikan Darul Falah, Hanafi Mat Yunus berkata, seramai 300 pelajar dari seluruh Parlimen Jeli mengikuti tuisyen bahasa Inggeris secara percuma di situ.

"Malah, sejak ia diadakan jumlah pelajar yang mencatatkan keputusan cemerlang 5A pada UPSR menunjukkan peningkatan disebabkan pendekatan yang digunakan berbeza.

"Selain itu, tuisyen ini juga mendedahkan pelajar-pelajar kepada perkembangan semasa pendidikan negara. Oleh itu, Tok Pa telah mengatur dan membawa pelajar-pelajar serta pensyarah-pensyarah dari IPTA dan IPTS seperti, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Monash University, Taylor Collage dan Sekolah Antarabangsa Allice Smith," katanya.

Sehingga kini, Darul Falah telah memberi khidmat kepada hampir 2,000 pelajar yang kebanyakannya berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi. - Utusan Malaysia

0 comments: