KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat semalam mengakui wujudnya perpecahan dalam parti itu apabila meminta agar tidak diadakan sebarang pertandingan merebut jawatan tertinggi termasuk tiga sayap parti itu pada pemilihan Muktamar PAS tahun depan.
Dalam kenyataan yang disuarakan tidak sampai sebulan selepas Muktamar PAS ke-56 bulan lalu, Nik Aziz memberi alasan nasihatnya itu bagi mengelak perpecahan di kalangan ahli dan pengikut PAS.
Menteri Besar Kelantan itu sebaliknya mengesyorkan agar pemilihan diadakan secara perbincangan ataupun melalui syura dan bukannya dengan meletakkan calon untuk bertanding bagi kerusi kepimpinan parti itu dalam Muktamar ke-57 nanti.
“Kehendak saya, seboleh-bolehnya tidak usah bertanding...cuma kita berpakat secara syura. Namun kalau hendak dilakukan bertanding juga, jangan keluar daripada garisan (berlaku perbalahan), tak molek.
“Luahan hati seorang tua (sudah lama dalam PAS) seperti saya, tidak mahu melihat berlaku perpecahan dalam parti. Tapi kalau hendak buat juga...boleh kerana perkara itu halal dalam parti,” katanya selepas merasmikan Sambutan Jubli Emas, Sekolah Menengah Ugama (A) Sullamiah, Bunut Payong, dekat sini, semalam.
Beliau diminta mengulas cadangannya ketika berucap dalam majlis berkenaan yang meminta supaya tidak diadakan pertandingan dalam parti.
Kemelut dalaman PAS timbul pada 2009, apabila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin lain menyokong penubuhan kerajaan perpaduan melalui kerjasama dengan seteru parti itu, UMNO, atas matlamat untuk membela nasib orang Islam di negara ini.
Sementara itu, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib, berkata setiap pemimpin parti yang dipilih akar umbi untuk memegang sebarang jawatan sentiasa bersikap jujur dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab mereka tanpa mengejar cita-cita tinggi.
Harun berkata, beliau risau akan mengundang persepsi negatif di kalangan segelintir pihak sekiranya pemilihan kepemimpinan tertinggi PAS diadakan secara perbincangan ataupun melalui syura.
“Setakat ini saya tidak melihat berlakunya perpecahan dalam PAS..., jika hendak buat pemilihan menerusi perbincangan ataupun melalui syura..., nanti takut pula ada pihak yang membuat pelbagai andaian,” katanya.
“Setiap pemimpin yang dipilih pada Muktamar PAS sentiasa bertanggungjawab menjalankan tugas masing-masing malah mereka (pemimpin) mahu memberikan khidmat terbaik kepada ahli parti dan juga masyarakat.
“Bagaimanapun, terpulang kepada Majlis Syura PAS untuk membuat keputusan mengenai pemilihan kepemimpinan parti pada Muktamar ke-57 nanti,” katanya. - Berita Harian
Sunday, July 11, 2010
(Perpecahan Dalaman Pas) - Nik Aziz Akui
Kongsi Bersama Rakan Anda Di FacebookLabels: Dalam Kelantan, Politik
Posted by May at 9:29 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment