JELI 14 Julai – Suat

u ketika dahulu jika disebut tentang Jeli, pasti ramai yang terbayang binatang buas harimau dan gajah sekali gus bagaikan menggambarkan betapa mundurnya daerah ini yang bersempadan dengan negeri Perak.
Namun begitu, suasana sudah berubah, Jeli kini mengalami transformasi hebat malah dikatakan menjadi daerah paling pantas berkembang di negeri ini.
Boleh dikatakan, daerah ini menjadi hab pendidikan di Kelantan kerana bakal dilengkapi kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Politeknik Jeli serta Sekolah Menengah Sains Jeli pada tahun depan.
Sebut sahaja dari sekecil-kecil sekolah sehingga ke peringkat tertinggi semuanya ada di daerah ini. Buat masa ini, Jeli telah dilengkapi dengan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Kolej Komuniti.
Sementara tiga projek itu yang sedang dilaksanakan, bakal mengubah wajah jajahan Jeli yang selama ini kelihatan terpencil, sekali gus merancakkan pelbagai aktiviti pembangunan di sini.
Semua ini adalah hasil keprihatinan dan iltizam tinggi Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang lebih mesra dengan panggilan ‘Tok Pa’ untuk melihat perubahan di bandar ini yang bakal dinikmati oleh penduduknya tanpa mengira pegangan politik. Ia selaras dengan ‘tagline’ beliau ‘Janji Dikota’.
Hab pendidikan turut disokong oleh kemudahan infrastruktur asas yang sedang giat dilaksanakan di jajahan tersebut seperti Projek Memperelok Jalan Gua Musang-Jeli membabitkan kos RM53 juta.
Sektor pendidikan ternyata memberikan impak yang besar kepada ekonomi masyarakat sekeliling seperti kewujudan Kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa, Kota Bharu yang telah menyumbang RM17.16 juta kepada masyarakat setempat pada tahun pertama beroperasi 2007.
Jumlah itu terus meningkat kepada RM26.77 juta pada 2008 dan RM54 juta pada 2009.
Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Makhtar Mustapha berkata, kesemua projek itu membuka peluang yang amat luas kepada rakyat Kelantan terutama penduduk di Jeli dalam bidang perniagaan untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka.
“Atas usaha Tok Pa ketika bertugas sebagai Menteri Pengajian Tinggi, Kampus UMK Jeli yang bernilai RM37.5 juta menjadi kenyataan dan ia menunggu masa untuk disiapkan sepenuhnya pada April tahun depan.
“UMK mampu menampung lebih 800 pelajar dan 200 tenaga pengajar lengkap dengan kemudahan termasuk masjid, blok pentadbiran dan fakulti. Kampus ini juga secara tidak langsung memberikan peluang kepada anak-anak tempatan untuk melanjutkan pelajaran,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Makhtar berkata, rakyat seharusnya bersyukur dengan usaha Kerajaan Persekutuan melaksanakan pembinaan projek pendidikan kerana ia bakal menjadi katalis kepada pembangunan dan pemacu kemajuan Jeli.
Katanya, Politeknik Jeli pula dibangunkan dengan kos RM103 juta di kawasan seluas 49.6 hektar yang kini dalam proses pembinaan dan dijangka siap pada tahun depan.
“Bukan itu sahaja, Kerajaan Pusat memberikan perhatian serius dalam aspek keagamaan, pada tahun lepas sahaja lebih RM4.8 juta disalurkan ke jajahan melalui peruntukan khas Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Peruntukan Projek Infrastruktur Asas dan Peruntukan Dana Khas Kerajaan Persekutuan.
“Peruntukan tersebut digunakan untuk membaik pulih surau dan masjid di samping menjalankan pelbagai aktiviti keagamaan yang disalurkan melalui JPP,” katanya.
Semua ini membuktikan bahawa Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mahu pembangunan fizikal berjalan seiring dengan pembangunan rohani bagi melahirkan modal insan yang benar-benar berkualiti.
Maka, tidak hairanlah tinjauan Utusan Malaysia di sekitar bandar itu mendapati, rata-rata penduduk menyambut baik dan bersyukur dengan pembangunan yang dibawa oleh Kerajaan Pusat untuk mereka.
Seorang kerani, Norazmi Mat Noor, 45, berkata, sebagai penduduk, dia dan keluarga akan dapat menikmati limpahan pembangunan untuk keselesaan dan kemudahan.
“Sebelum ini, agak susah bagi kami mendapatkan kemudahan asas seperti hospital atau bank yang ada di Tanah Merah pada ketika dahulu tetapi kini semuanya sudah ada di sini dan kami tidak perlu bersusah payah untuk ke sana.
“Saya percaya dengan adanya institusi pengajian tinggi (IPT) yang menyebabkan pertambahan penduduk, pembangunan akan datang lebih cepat lagi dan tidak ada lagi cerita gajah dan harimau yang sering menghantui orang luar untuk datang ke sini,” katanya.
Seorang pelajar, Nortakiah Abdullah, 20, berharap projek berkenaan akan disiapkan secepat mungkin bagi membantu meningkatkan pendapatan penduduk setempat.
“Perniagaan di sini akan bertambah rancak dengan kehadiran ramai pelajar dan pensyarah. Saya dapat merasakan selepas ini perniagaan akan berkembang di Jeli di samping dapat menarik pengguna Jalan Raya Timur-Barat singgah di sini,” katanya. -
Utusan Malaysia