MyKelantanBlog SUDAH BERPINDAH!

Anda akan dibawa ke Mykelantan.net dalam masa 6 saat. Klik URL untuk terus ke
http://mykelantan.net
dan kemaskini "bookmark" anda.

Monday, July 12, 2010

(Keputusan STPM 2010) - Kelantan Sasar 100 Peratus

Kongsi Bersama Rakan Anda Di Facebook



KOTA BHARU 12 Julai - Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan menyasarkan kelulusan 100 peratus dalam semua mata pelajaran pada peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun ini.

Pengarah JPN Kelantan, Hussain Awang berkata, pihaknya turut menyasarkan peningkatan bilangan calon yang mendapat gred A bagi semua mata pelajaran kepada 40 orang berbanding 30 calon pada tahun lalu.

Beliau berkata, kedua-dua sasaran itu mampu direalisasikan berdasarkan komitmen serta kerjasama dari semua pihak termasuk sekolah dan guru-guru.

"Jika tahun lepas kita hanya menduduki tempat kedua, untuk tahun ini kita mahu berada di tempat pertama untuk STPM," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Tingkatan Enam di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putera di sini.

Menurut Hussain lagi, sasaran untuk meningkatkan bilangan calon yang mendapat semua A, mampu dicapai berdasarkan keberkesanan program "Kem Skor A" yang dijalankan oleh pihak jabatan sepanjang tahun lalu.

Program itu, katanya, dirangka secara khusus melibatkan semua pelajar STPM di seluruh negeri yang dikumpul secara serentak pada awal dan hujung minggu setiap bulan.

"Program ini melibatkan tujuh siri yang akan menjelajah setiap daerah di negeri ini dan program ini sudah pun memasuki siri keempat.

"Kesemua pelajar yang terlibat dalam program ini dipilih oleh pihak sekolah berdasarkan prestasi dan keputusan peperiksaan yang dicapai oleh mereka," jelasnya.

Tambahnya, program ini bukan sahaja memberikan penekanan dalam teknik menjawab soalan dan cara belajar yang berkesan, tetapi turut menyelitkan elemen jati diri dan pembinaan sahsiah pelajar sebelum melangkah ke menara gading.

"Sambutan dan kerjasama yang diberikan oleh para pelajar serta mereka yang terlibat dalam program ini cukup membanggakan.

"Inilah peluang terbaik kepada pelajar luar bandar dan bandar untuk sama-sama bersaing secara sihat serta berkongsi pengalaman untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran," katanya.

Mengulas mengenai karnival tersebut pula, Hussain berkata, program berkenaan amat baik sebagai pendedahan buat pelajar yang akan menduduki STPM.

"Melalui program ini, kita dapat memberikan pengetahuan dan ilmu tentang peluang yang ada untuk para pelajar tingkatan enam," katanya.

0 comments: