MyKelantanBlog SUDAH BERPINDAH!

Anda akan dibawa ke Mykelantan.net dalam masa 6 saat. Klik URL untuk terus ke
http://mykelantan.net
dan kemaskini "bookmark" anda.

Tuesday, July 13, 2010

[Keracunan Makanan] - 90 Pelajar Dikejar Ke Hospital

Kongsi Bersama Rakan Anda Di Facebook

RANTAU PANJANG – Seramai 90 pelajar yang menginap di asrama Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang di sini dikejarkan ke hospital berdekatan akibat keracunan makanan.

Mereka terdiri daripada 10 pelajar Tingkatan Satu hingga Enam dibawa ke Hospital Pasir Mas (HPM) selepas keadaan mereka dilaporkan serius manakala selebihnya menerima rawatan sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan dekat sini.

Menyedari kejadian itu, pihak pengurusan asrama terbabit membuat laporan kepada pihak sekolah sebelum semua pelajar terlibat dihantar ke Klinik Kesihatan Rantau Panjang untuk mendapatkan rawatan.

Difahamkan keracunan itu berpunca daripada hidangan sambal tumis ikan bilis yang diambil pada jam 6.30 petang untuk makan malam.

Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan meminta agar pihak sekolah supaya memberi pertolongan cemas kepada semua pelajar yang terlibat di klinik berdekatan.

“Keadaan semua pelajar tidak membimbangkan dan untuk sementara waktu pelajar yang terlibat dibenarkan pulang ke rumah masing-masing untuk berehat.

”Kita sudah membuat laporan kepada Jabatan Kesihatan Kelantan berhubung kejadian itu dan pegawainya hadir ke sekolah untuk menjalankan siasatan selain mengambil sampel makanan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dalam pada itu, sumber pihak sekolah menyatakan ketika pelajar sedang menikmati makan petang semalam, terdapat operasi semburan nyamuk Aedes di kawasan tersebut.

Pihak sekolah tidak menolak kemungkinan percikan semburan itu menyebabkan ia terkena kepada makanan yang menyebabkan berlakunya kejadian keracunan makanan tersebut.

Sementara itu, salah seorang pelajar, Mohd Arif Mohd Yusof, 15, berkata hari sebelumnya kesemua penghuni asrama dihidangkan dengan masakan sambal tumis ikan bilis dan sayur lemak putih.

”Pada mulanya saya hanya berasa lenguh badan, namun, selepas beberapa jam, perut saya mula berasa memulas dan mula berasa hendak muntah,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Shamsul Bahari Hashim, 13, berkata, dia juga mengalami muntah dan sakit perut kira-kira jam 3 pagi dan beberapa kali berulang alik ke tandas.

”Saya kemudian dibawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan dan dibenarkan pulang selepas menerima rawatan,” katanya. - Sinar Harian

0 comments: