Pengurus Besar Kesedar, Mohd Arshad Ismail, berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan untuk memasang telaga tiub bagi mengatasi masalah penduduk di situ dan sekitarnya yang membabitkan kos RM200,000.
"Ini adalah salah satu daripada tindakan segera pihak kami dalam mengatasi masalah bekalan air yang dihadapi penduduk terbabit sejak beberapa bulan lepas," katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan pusat tadahan air di Bukit Pinang Rancangan Pemulihan Tanah Kesedar (RPT) Sungai Sam, dekat sini Isnin.
Selain itu, katanya, Kesedar dengan kerjasama jawatankuasa kemajuan peneroka akan membuat kajian untuk mencari punca baru air yang mampu menampung keperluan penduduk di kawasan berkenaan, sebelum melaksanakan rancangan jangka panjang projek bekalan air di kawasan itu.
"Kami amat bersimpati dengan penduduk, bukan sahaja menghadapi masalah bekalan air minuman bersih, tetapi juga untuk mencuci pakaian sekolah anak-anak," katanya.
Menurutnya Mohd Arshad, sebanyak 197 buah rumah terlibat dengan penggunaan air berkeladak dari pusat tadahan air Bukit Pinang sejak beberapa bulan lepas.
Beliau berkata, pihaknya juga akan berunding dengan pihak berkuasa kerajaan negeri menerusi Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) untuk membekalkan air bersih menerusi projek pembangunan bekalan air di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Katanya, lebih RM6 juta diperuntukkan bagi membiayai projek itu yang mampu menyalurkan air bersih kepada kira-kira 3,000 peneroka Kesedar, termasuk di kawasan RPT Sungai Sam.
"Untuk itu, kami akan berunding dengan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerjaraya, Utiliti dan Alam Sekitar Negeri, Mejar (B) Mohd Anizam Abdul Rahman, tidak lama lagi," katanya.
Beliau meminta para peneroka supaya bersabar kerana sesetengah projek yang hendak dilaksanakan itu perlu dikaji apabila membabitkan bidang kuasa kerajaan, terutama tanah.
-- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment