MyKelantanBlog SUDAH BERPINDAH!

Anda akan dibawa ke Mykelantan.net dalam masa 6 saat. Klik URL untuk terus ke
http://mykelantan.net
dan kemaskini "bookmark" anda.

Wednesday, August 11, 2010

Pelancaran MyKelantanBlog Di Blogspot dan FB

Kongsi Bersama Rakan Anda Di Facebook

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera

Syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan izinnya dapat juga saya melancarkan blog MyKelantan ini. Pada tarikh 12 Julai 2010, maka tercapai juga hasrat saya untuk mengeluarkan produk ini dimana ianya bukan hanya milik saya seorang tetapi juga milik anda semua.

Tujuan utama penubuhan blog ini adalah sebagai informasi dan pengubat rindu anak-anak Kelantan di Perantauan termasuklah saya. Blog ini akan memuatkan berita-berita yang berlaku di negeri Kelantan khasnya dan Negara kita amnya.

Sedaya upaya saya cuba dapatkan berita melalui rakan-rakan di Kelantan dan tak lupa juga sumbangan idea daripada anda sendiri. Selain itu juga, terdapat beberapa direktori yang membolehkan pengunjung mencari maklumat penting di Kelantan contohnya seperti kawasan pelancongan, hotel-hotel, tempat menarik dan lain-lain lagi.

Diharap usaha ini mendapat sokongan dari rakan-rakan semua.. segala pandangan, cadangan atau permohonan untuk menjadi pentadbir boleh dilakukan melalui e-mail di mykelantanblog[at]gmail.com.

Monday, August 2, 2010

Wajah Baru MyKelantan

Kongsi Bersama Rakan Anda Di Facebook


Alhamdulillah, walaupun dibatasi dengan kesibukan kerja, akhirnya sempat juga saya menyiapkan blog baru untuk MYKELANTAN ini.

MULAI DARI 1 OGOS 2010, ALAMAT BLOG BARU UNTUK MYKELANTAN ADALAH SEPERTI BERIKUT :-

http://www.mykelantan.net

OLEH YANG DEMIKIAN, SEMUA ARTIKEL DAN KEMASKINI, TIDAK LAGI MELALUI BLOG INI.

TERIMA KASIH KEPADA YANG MEMBERI SOKONGAN

Thursday, July 15, 2010

Sultan Kelantan Ke Singapura Untuk Rawatan Susulan

Kongsi Bersama Rakan Anda Di Facebook

KOTA BAHARU, 15 Julai (Bernama) -- Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra berlepas ke Singapura pada Khamis bagi menjalani rawatan susulan.

Baginda menaiki pesawat khas kerajaan Malaysia dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini, dengan diiringi Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid dan Tengku Temenggong Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra.

Turut berada di lapangan terbang itu bagi menghantar baginda ialah Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Aiseri Alias serta anggota-anggota exco kerajaan negeri serta pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.

Jumaat lepas Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Abdul Halim Ahmad berkata bahawa Sultan Kelantan akan dibawa ke Hospital Mount Elizabeth di Singapura untuk menukar tiub di perut baginda yang berfungsi untuk menyalurkan makanan.

Sebelum ini, baginda dirawat di hospital yang sama kerana masalah jantung.

-- BERNAMA

Wednesday, July 14, 2010

Gangguan bekalan air tiga jajahan

Kongsi Bersama Rakan Anda Di Facebook

KOTA BHARU 14 Julai - Sebanyak 32 buah kawasan di jajahan Machang, Pasir Puteh dan Kota Bharu akan mengalami gangguan bekalan air selama tiga hari mulai Jumaat ini.

Eksekutif Hal Ehwal Pelanggan Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB), Hazwan Hassan berkata, gangguan itu disebabkan kerja-kerja penyelenggaraan di Loji Rawatan Air Merbau Chondong.

Beliau berkata, penyelenggaraan loji itu dibuat bagi penambahbaikan perkhidmatan pada masa hadapan.

Katanya, sebanyak 12 penempatan di jajahan Machang yang terlibat dengan gangguan itu adalah Bandar Machang, Labok, Padang Selising, Banggol Petai, Pangkal Meleret, Paloh Rawa, UiTM Machang, Wakaf Bata, Merbau Chondong, Bukit Tiu, Kweng Hitam dan Kemuning.

"Di jajahan Pasir Puteh pula, sebanyak 19 kawasan terjejas iaitu Bukit Bidang, Alor Hijau, Jeram, Semerak, Tualang Tinggi, Bukit Tanah, Bukit Abal, Taman Kobena, Kampung Berangan, Taman Sentosa, Selising, Dalam Rhu, Tok Bali, Tasik Pauh, Bukit Jawa, Kampung Jerus, Sri Aman, Kampung Lepah dan Banggol Telipot," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, bagi Kota Bharu pula, kawasan terlibat adalah Kok Lanas serta kampung di sekitarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihati penduduk supaya menyimpan air yang mencukupi untuk urusan seharian dalam tempoh berkenaan. - Utusan Malaysia

Pusat Dakwah Jeli lahirkan insan cemerlang

Kongsi Bersama Rakan Anda Di Facebook

JELI 14 Julai - Sekiranya melalui kawasan pembinaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Politeknik Jeli, anda pasti akan melihat sepanduk yang tertera perkataan 'Janji Dikota' di samping wajah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Sepanduk itu memberikan makna yang mendalam kepada penduduk di kawasan terbabit kerana terbukti janji-janji yang dibuat oleh Ahli Parlimen Jeli itu telah dikotakan sedikit demi sedikit.

Bukan sahaja 'membawa pulang' pembangunan dari Putrajaya seperti kampus UMK, Politeknik Jeli, Jambatan Perpaduan Malaysia-Thailand dan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ), malah beliau turut merangka program dan membina pusat perkembangan bagi memastikan penduduk terutama pelajar mendapat manfaat daripada projek yang dilaksanakan.

Antara janji beliau pada Pilihan Raya Umum 2004 adalah untuk membina sebuah Pusat Dakwah Jeli (PDJ) atau lebih dikenali sebagai Pondok Moden di Jedok, Bukit Bunga untuk manfaat penduduk setempat menimba ilmu agama terutama membabitkan para pelajar bagi melahirkan modal insan yang mementingkan dunia dan akhirat.

Hasilnya, PDJ menjadi kenyataan pada 2008 atas tapak seluas 1.6 hektar yang menempatkan surau, asrama untuk lelaki dan perempuan, dewan kuliah serta kemudahan riadah.

Mudir PDJ, Ismail Jusoh berkata, pusat tersebut juga bakal dilengkapi sebuah dewan yang mampu menampung kira-kira 300 orang.

"Dewan bernilai RM300,000 itu masih dalam proses pembinaan dan dijangka siap tidak lama lagi. Mengikut perancangan, pada masa depan ia turut dilengkapi dengan rumah warga emas, kemudahan klinik serta sebuah sekolah tahfiz.

"Tumpuan utama penubuhan pusat ini bagi memberikan kesedaran kepada penduduk Jeli terutama pelajar supaya dapat mendalami ilmu agama dengan betul, sekali gus menjadikan mereka insan bertakwa yang mampu berbakti kepada agama, bangsa dan negara," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Katanya, tiga program tetap diadakan setiap minggu iaitu Kuliah Jumaat, Sehati Wanita Jeli dan Bicara Petang, selain pelbagai aktiviti lain seperti tazkirah hujung minggu dan yang terbaru Qiamullail sempena bulan Rejab.

Menurutnya, PDJ juga sering digunakan sebagai lokasi kursus-kurus kecemerlangan untuk calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

"Tok Pa selalu datang ke sini dan meninjau sendiri program yang diadakan kerana beliau mahu memastikan PDJ berjaya mencapai matlamat penubuhannya bagi melahirkan insan cemerlang," katanya.

Justeru itu, keikhlasan dan komitmen Mustapa untuk membantu rakyat negeri ini mendapatkan pendidikan sememangnya tidak dapat dipertikaikan malah sejak 1996 lagi beliau amat konsisten memberikan kelas tuisyen secara percuma kepada kanak-kanak berusia 12 tahun.

Program Tuisyen Darul Falah yang diilhamkan beliau itu amat dikenali oleh penduduk di sini tanpa mengira fahaman politik.

Penyelaras Aktiviti Pendidikan Darul Falah, Hanafi Mat Yunus berkata, seramai 300 pelajar dari seluruh Parlimen Jeli mengikuti tuisyen bahasa Inggeris secara percuma di situ.

"Malah, sejak ia diadakan jumlah pelajar yang mencatatkan keputusan cemerlang 5A pada UPSR menunjukkan peningkatan disebabkan pendekatan yang digunakan berbeza.

"Selain itu, tuisyen ini juga mendedahkan pelajar-pelajar kepada perkembangan semasa pendidikan negara. Oleh itu, Tok Pa telah mengatur dan membawa pelajar-pelajar serta pensyarah-pensyarah dari IPTA dan IPTS seperti, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Monash University, Taylor Collage dan Sekolah Antarabangsa Allice Smith," katanya.

Sehingga kini, Darul Falah telah memberi khidmat kepada hampir 2,000 pelajar yang kebanyakannya berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi. - Utusan Malaysia

Jeli Pantas Membangun

Kongsi Bersama Rakan Anda Di Facebook

JELI 14 Julai – Suatu ketika dahulu jika disebut tentang Jeli, pasti ramai yang terbayang binatang buas harimau dan gajah sekali gus bagaikan menggambarkan betapa mundurnya daerah ini yang bersempadan dengan negeri Perak.

Namun begitu, suasana sudah berubah, Jeli kini mengalami transformasi hebat malah dikatakan menjadi daerah paling pantas berkembang di negeri ini.

Boleh dikatakan, daerah ini menjadi hab pendidikan di Kelantan kerana bakal dilengkapi kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Politeknik Jeli serta Sekolah Menengah Sains Jeli pada tahun depan.

Sebut sahaja dari sekecil-kecil sekolah sehingga ke peringkat tertinggi semuanya ada di daerah ini. Buat masa ini, Jeli telah dilengkapi dengan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Kolej Komuniti.

Sementara tiga projek itu yang sedang dilaksanakan, bakal mengubah wajah jajahan Jeli yang selama ini kelihatan terpencil, sekali gus merancakkan pelbagai aktiviti pembangunan di sini.

Semua ini adalah hasil keprihatinan dan iltizam tinggi Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang lebih mesra dengan panggilan ‘Tok Pa’ untuk melihat perubahan di bandar ini yang bakal dinikmati oleh penduduknya tanpa mengira pegangan politik. Ia selaras dengan ‘tagline’ beliau ‘Janji Dikota’.

Hab pendidikan turut disokong oleh kemudahan infrastruktur asas yang sedang giat dilaksanakan di jajahan tersebut seperti Projek Memperelok Jalan Gua Musang-Jeli membabitkan kos RM53 juta.

Sektor pendidikan ternyata memberikan impak yang besar kepada ekonomi masyarakat sekeliling seperti kewujudan Kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa, Kota Bharu yang telah menyumbang RM17.16 juta kepada masyarakat setempat pada tahun pertama beroperasi 2007.

Jumlah itu terus meningkat kepada RM26.77 juta pada 2008 dan RM54 juta pada 2009.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Makhtar Mustapha berkata, kesemua projek itu membuka peluang yang amat luas kepada rakyat Kelantan terutama penduduk di Jeli dalam bidang perniagaan untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka.

“Atas usaha Tok Pa ketika bertugas sebagai Menteri Pengajian Tinggi, Kampus UMK Jeli yang bernilai RM37.5 juta menjadi kenyataan dan ia menunggu masa untuk disiapkan sepenuhnya pada April tahun depan.

“UMK mampu menampung lebih 800 pelajar dan 200 tenaga pengajar lengkap dengan kemudahan termasuk masjid, blok pentadbiran dan fakulti. Kampus ini juga secara tidak langsung memberikan peluang kepada anak-anak tempatan untuk melanjutkan pelajaran,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Makhtar berkata, rakyat seharusnya bersyukur dengan usaha Kerajaan Persekutuan melaksanakan pembinaan projek pendidikan kerana ia bakal menjadi katalis kepada pembangunan dan pemacu kemajuan Jeli.

Katanya, Politeknik Jeli pula dibangunkan dengan kos RM103 juta di kawasan seluas 49.6 hektar yang kini dalam proses pembinaan dan dijangka siap pada tahun depan.

“Bukan itu sahaja, Kerajaan Pusat memberikan perhatian serius dalam aspek keagamaan, pada tahun lepas sahaja lebih RM4.8 juta disalurkan ke jajahan melalui peruntukan khas Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Peruntukan Projek Infrastruktur Asas dan Peruntukan Dana Khas Kerajaan Persekutuan.

“Peruntukan tersebut digunakan untuk membaik pulih surau dan masjid di samping menjalankan pelbagai aktiviti keagamaan yang disalurkan melalui JPP,” katanya.

Semua ini membuktikan bahawa Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mahu pembangunan fizikal berjalan seiring dengan pembangunan rohani bagi melahirkan modal insan yang benar-benar berkualiti.

Maka, tidak hairanlah tinjauan Utusan Malaysia di sekitar bandar itu mendapati, rata-rata penduduk menyambut baik dan bersyukur dengan pembangunan yang dibawa oleh Kerajaan Pusat untuk mereka.

Seorang kerani, Norazmi Mat Noor, 45, berkata, sebagai penduduk, dia dan keluarga akan dapat menikmati limpahan pembangunan untuk keselesaan dan kemudahan.

“Sebelum ini, agak susah bagi kami mendapatkan kemudahan asas seperti hospital atau bank yang ada di Tanah Merah pada ketika dahulu tetapi kini semuanya sudah ada di sini dan kami tidak perlu bersusah payah untuk ke sana.

“Saya percaya dengan adanya institusi pengajian tinggi (IPT) yang menyebabkan pertambahan penduduk, pembangunan akan datang lebih cepat lagi dan tidak ada lagi cerita gajah dan harimau yang sering menghantui orang luar untuk datang ke sini,” katanya.

Seorang pelajar, Nortakiah Abdullah, 20, berharap projek berkenaan akan disiapkan secepat mungkin bagi membantu meningkatkan pendapatan penduduk setempat.

“Perniagaan di sini akan bertambah rancak dengan kehadiran ramai pelajar dan pensyarah. Saya dapat merasakan selepas ini perniagaan akan berkembang di Jeli di samping dapat menarik pengguna Jalan Raya Timur-Barat singgah di sini,” katanya. - Utusan Malaysia

Nik Aziz Sedia Temui Muhyiddin

Kongsi Bersama Rakan Anda Di Facebook


KOTA BAHARU, 14 Julai (Bernama) -- Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau sedia bertemu dan berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai "apa juga perkara".

Ketika ditemui pemberita pada Rabu, Menteri Besar Kelantan itu berkata tiada halangan untuknya bersua muka dengan Muhyiddin tetapi perjumpaan itu biarlah tanpa diatur mana-mana pihak ketiga sebagai orang tengah.

"Yang moleknya tak payah orang (tengah). Kalau nak jumpa secara peribadi pun tak apa, boleh sangat," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini.

Muhyiddin, yang dijadual melawat Kelantan pada Khamis, semalam dilaporkan berkata UMNO sedia menjalin kerjasama dengan PAS dalam pelbagai bidang termasuk usaha untuk memperkukuhkan Islam serta kedudukan orang Melayu di negara ini.

-- BERNAMA

Kelantan Benarkan Projek ECER Di Gua Musang

Kongsi Bersama Rakan Anda Di Facebook

KOTA BAHARU, 14 Julai (Bernama) -- Kerajaan Kelantan memberi kebenaran kepada Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) untuk membangunkan tanah kerajaan di daerah Galas dan daerah Ciku di Gua Musang sebagai Projek Agropolitan Kelantan Selatan.

Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kelulusan yang diberi kepada ECERDC itu telah secara tidak langsung membatalkan permohonan daripada Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) sebelum ini untuk memiliki tanah seluas 600 hektar di kawasan berkenaan.

"Sebelum ini Kesedar ada membuat permohonan untuk memiliki dan membangunkan tanah di kawasan berkenaan. Bagaimanapun mengambil kira beberapa faktor melalui hasil perbincangan, pihak kerajaan negeri telah memutuskan untuk membenarkan ECERDC membangunkan kawasan itu.

"Dengan keputusan itu, tanah-tanah berkenaan kekal sebagai tanah kerajaan negeri kerana ECERDC hanya bertanggungjawab membangunkan tanah berkenaan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini pada Rabu.

Nik Aziz berkata keputusan membenarkan ECERDC membangunkan kawasan itu bermakna bahawa apabila projek berkenaan siap, sebarang keputusan seperti contoh memindah hak milik tanah kepada golongan miskin, dapat dilakukan secara terus oleh kerajaan negeri tanpa melalui banyak pihak.

"Apabila projek ini siap, sebarang keputusan yang akan dilakukan oleh kerajaan negeri lebih mudah, jika tanah berkenaan diberi kepada Kesedar dan Kesedar memberi kepada ECERDC untuk dibangunkan, ianya akan membebankan kerana melibatkan banyak pihak," katanya.

Nik Aziz berkata projek berkenaan yang merangkumi pembinaan pelbagai komponen antaranya kediaman, ruang perniagaan dan utiliti itu telah bermula pada Mei lalu dengan pembinaan 350 unit rumah.

-- BERNAMA

Tahap Kebersihan Alam Sekitar Penduduk Kelantan Amat Rendah

Kongsi Bersama Rakan Anda Di Facebook

KOTA BAHARU, 14 Julai (Bernama) -- Tahap kesedaran terhadap kebersihan alam sekitar di kalangan penduduk Kelantan diakui amat rendah dan perlu ditingkatkan dengan mengubah mentaliti dan sikap mereka.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Dr Azizul Halim Yahya berkata tahap pencemaran di kalangan penduduk di negeri ini sama ada yang tinggal di kawasan bandar dan luar bandar amat mengecewakan.

Beliau berkata ini berdasarkan kajian tahap pencemaran bandar yang dijalankan oleh Fakulti Industri dan Sumber Asli (FASA) universiti berkenaan.

"Rakyat Kelantan disediakan dengan pelbagai infrastruktur seperti tong sampah untuk membolehkan mereka membuang sampah sarap dengan cara betul.

"Bagaimanapun ada di kalangan mereka yang masih tidak tahu untuk memanfaatkan kemudahan tersebut, bahkan kami cukup kesal dengan sikap penduduk yang meletakkan bungkusan sampah pada bonet kenderaan dan jika sampah itu jatuh, mereka tidak mengutipnya semula," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) Peringkat UMK, di sini, Rabu.

Pada program yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam itu, UMK mengadakan pelbagai program antaranya siri ceramah kesedaran alam sekitar di sekolah-sekolah di Kelanyan, gotong royong membersihkan Pantai Cahaya Bulan (PCB), forum alam sekitar, pertandingan fotografi dan pidato alam sekitar.

Beliau berkata rakyat Malaysia amnya dan penduduk Kelantan khususnya harus mencontohi sikap rakyat di Jepun dan Barat yang begitu peka dan prihatin terhadap usaha penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Azizul Halim berkata, sikap dan mentaliti rakyat Malaysia terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar boleh ditingkatkan melalui penguatkuasaan undang-undang dan peraturan yang lebih ketat oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Sambil menyifatkan usaha penjagaan alam sekitar bukanlah sesuatu kerja yang menyusahkan kerana ia tidak memerlukan tenaga dan masa yang banyak sebaliknya hanya memerlukan sedikit rasa tanggungjawab.

Beliau berkata UMK akan membantu dan melaksanakan tanggungjawab sosialnya untuk mengawal pencemaran alam sekitar dengan menganjurkan lebih banyak program terutama di kalangan generasi muda.



-- BERNAMA

Konsulat Thai Di Kelantan Anjur Pesta Produk Kampung Minggu Depan

Kongsi Bersama Rakan Anda Di Facebook

KOTA BAHARU, 14 Julai (Bernama) -- Konsulat Thailand di Kota Baharu akan menganjurkan Pesta Makanan dan Buah-buahan minggu depan bagi mempromosikan produk yang dihasilkan oleh peniaga beragama Islam di Selatan Thailand.

Konsul Besar Diraja Thai di Kelantan, Surapon Petch-Vra berkata pesta itu dianjurkan oleh Pejabat Konsul Besar Thai dengan kerjasama Pusat Pentadbiran Wilayah-wilayah di Sempadan Selatan (SBPAC) dan sebuah syarikat tempatan, Vininspire Innovation Thai OTOP Sdn Bhd.

Berlangsung dari 21 hingga 25 Julai di Pusat Kebudayaan di sini dan Wakaf Che Yeh, pesta itu akan mengetengahkan produk yang dihasilkan menerusi program Satu Kampung Satu Produk (OTOP), antaranya termasuk makanan istimewa dan kraftangan.

"Festival ini sebahagian daripada usaha kerajaan Thai untuk membantu peniaga beragama Islam meningkatkan tahap ekonomi mereka.

"Kami akan membawa 43 peniaga Thai yang beragama Islam dari wilayah selatan untuk menjalankan perniagaan di sini dan hanya makanan halal yang akan dijual," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Surapon berkata penduduk Islam Thai membentuk 2.5 juta daripada sejumlah 3.5 juta penduduk di lima wilayah di selatan iaitu Yala, Narathiwat, Pattani, Songkhla dan Satun.

Festival itu merupakan acara tahunan bagi menjalin hubungan baik antara Malaysia dan Thailand.

Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan dengan menghubungi Joey Tong dari Vininspire menerusi talian 017-6599984, e-mel admin@thaiotop.com.my atau melayari laman web www.thaiotop.com.my.

-- BERNAMA

Tunggakan Cukai Pintu - MPKB BRI Sita Aset

Kongsi Bersama Rakan Anda Di Facebook

KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) mengenal pasti kira-kira 3,000 pemilik premis niaga dan kediaman masih gagal menjelaskan tunggakan cukai pintu berjumlah antara RM1,000 hingga RM5,000 sejak lebih lima tahun lalu.
Berikutan itu, MPKB kini melancarkan gerakan menyita aset pemilik harta terbabit yang dianggap liat membayar cukai menerusi Operasi Waran yang bermula kelmarin hingga 31 Julai ini.

Penolong Pengarah Perhubungan Awam MPKB, Azman Mohd Daham, berkata sehingga kini jumlah keseluruhan tunggakan cukai yang belum dijelaskan pemilik premis sekitar kawasan pentadbiran MPKB bernilai kira-kira RM16 juta membabitkan kira-kira 60,000 pegangan.

Katanya, daripada jumlah itu kira-kira 3,000 pegangan dianggap kelompok paling liat menjelaskan tunggakan cukai walaupun sudah diberi pelbagai notis dan amaran, selain tawaran MPKB untuk menjelaskan hutang secara ansuran.

“Kita masih menggunakan budi bicara terhadap pembayar cukai yang degil itu termasuk rundingan pembayaran melalui jawatankuasa tunggakan cukai bandar selain serahan surat peringatan sebelum tindakan penyitaan melalui operasi waran bagi memastikan mereka membayar hutang,” katanya.

Dalam operasi kelmarin, dua pemilik bangunan di bandar ini yang memiliki tunggakan cukai berjumlah RM10,500 sejak empat tahun lalu, bergegas menyelesaikan hutang mereka sejurus menyedari operasi yang dijalankan MPKB.

Azman berkata, tindakan waran adalah langkah akhir MPKB kerana sehingga kini 1,128 pemilik premis gagal menjelaskan tunggakan cukai walaupun dipanggil untuk sesi rundingan bagi menyelesaikan masalah itu.

“Cukai yang tidak dibayar dalam tempoh ditetapkan iaitu akhir Februari atau Ogos, dianggap sebagai tunggakan,” katanya.

Azman berkata, MPKB sudah melaksanakan pelbagai usaha bagi menggalakkan pemilik premis tampil membayar cukai dan menjelaskan tunggakan masing-masing termasuk menerusi cabutan insentif cukai bandar dengan menyediakan pelbagai hadiah menarik seperti kereta yang diperkenalkan sejak 2004.

“Sehingga kini, MPKB membelanjakan lebih RM500,000 bagi melaksanakan program cabutan insentif cukai bandar untuk dihadiahkan kepada pembayar cukai terbaik yang antaranya menerima kereta MyVi, Kancil, Iswara, Proton Saga, Avanza dan acara yang sedang berlangsung sekarang menawarkan hadiah Proton Exora,” katanya. -Berita Harian

Nelayan China Pulang Setelah Tiga Tahun Diisytihar Mati

Kongsi Bersama Rakan Anda Di Facebook

KOTA BAHARU, 14 Julai (Bernama) -- Di negara asalnya China, Tan Su Liang, 34, telah diisytihar mati ketika bekerja, bahkan ahli keluarganya telah dibayar pampasan 100,000 Renminbi (RM50,000).

Bagaimanapun, Tan yang berasal dari Chengdu, China, sebenarnya masih hidup dan berada di Depot Tahanan Tanah Merah di sini kerana dipercayai pendatang asing tanpa izin.

Tan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini dalam perjalanan pulang ke negara asalnya dari KLIA pada 6 petang ini selepas dua tahun berada di depot berkenaan yang menyebabkan dia terputus hubungan dengan keluarganya.

Menceritakan detik-detik cemas yang dilalui Tan sehingga menyebabkan dia dianggap mati oleh keluarga dan negaranya, Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Gan Leong Piow, individu yang membantu Tan pulang ke negara asalnya hari ini, berkata nasib yang menimpa Tan berlaku sekitar tahun 2008 ketika Tan, yang bekerja dengan sebuah syarikat perikanan di negaranya, terjatuh ke dalam laut pada waktu malam menyebabkan usaha mencarinya gagal.

Akibat tragedi itu, ahli keluarga dan rakan-rakan Tan percaya bahawa dia telah mati lemas kerana kejadian tersebut berlaku di kawasan laut dalam di perairan antarabangsa.

Bagaimanapun, Tan sebenarnya telah diselamatkan oleh sebuah kapal nelayan Malaysia dan telah dibawa ke negeri ini.

Sebaik tiba, dia dibawa ke Depot Tahanan Tanah Merah kerana dianggap pendatang asing tanpa izin kerana tidak mempunyai sebarang dokumen peribadi.

Bagaimanapun, nasib Tan berubah apabila kehadirannya di depot berkenaan diketahui oleh Gan.

Gan, seorang ahli perniagaan, menggunakan wangnya sendiri untuk menghantar wakil ke China bagi mengesan anggota keluarga nelayan itu.

"Saya juga telah mengupah seorang penulis di China untuk melaporkan mengenai kisah Tan di akhbar dan dari situ usaha kami menjejaki keluarganya menjadi mudah.

"Ketika itu barulah kami mendapat berita bahawa Tan telah diisytiharkan mati dan keluarganya telah menerima wang pampasan itu," katanya.

Menurut Gan, beliau telah menguruskan penghantaran pulang Tan dengan Jabatan Imigresen Kelantan sejak sembilan bulan lalu.

Turut hadir di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra untuik mengiringi Tan adalah bapanya, Tang Yon Lin, 55, dan seorang sepupunya, Chen Zi Yuan, 37, yang kedua-duanya datang ke negara ini melalui perbelanjaan yang disediakan oleh Gan.

Tan, yang tidak pandai bercakap Bahasa Melayu, kelihatan gembira, dan meminta bapanya bercakap dengan pemberita.

Bapanya, yang bertutur dalam Bahasa Mandarin, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan individu yang membantu dan menjaga anaknya selama ini.

"Ini adalah hari yang sungguh bahagia dan bagi saya malaikat seperti turun dari langit kerana saya dapat berjumpa semula dengan anak saya. Selama ini kami menganggap dia telah meninggal dunia," katanya.

-- BERNAMA

Tuesday, July 13, 2010

[Keracunan Makanan] - 90 Pelajar Dikejar Ke Hospital

Kongsi Bersama Rakan Anda Di Facebook

RANTAU PANJANG – Seramai 90 pelajar yang menginap di asrama Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang di sini dikejarkan ke hospital berdekatan akibat keracunan makanan.

Mereka terdiri daripada 10 pelajar Tingkatan Satu hingga Enam dibawa ke Hospital Pasir Mas (HPM) selepas keadaan mereka dilaporkan serius manakala selebihnya menerima rawatan sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan dekat sini.

Menyedari kejadian itu, pihak pengurusan asrama terbabit membuat laporan kepada pihak sekolah sebelum semua pelajar terlibat dihantar ke Klinik Kesihatan Rantau Panjang untuk mendapatkan rawatan.

Difahamkan keracunan itu berpunca daripada hidangan sambal tumis ikan bilis yang diambil pada jam 6.30 petang untuk makan malam.

Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan meminta agar pihak sekolah supaya memberi pertolongan cemas kepada semua pelajar yang terlibat di klinik berdekatan.

“Keadaan semua pelajar tidak membimbangkan dan untuk sementara waktu pelajar yang terlibat dibenarkan pulang ke rumah masing-masing untuk berehat.

”Kita sudah membuat laporan kepada Jabatan Kesihatan Kelantan berhubung kejadian itu dan pegawainya hadir ke sekolah untuk menjalankan siasatan selain mengambil sampel makanan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dalam pada itu, sumber pihak sekolah menyatakan ketika pelajar sedang menikmati makan petang semalam, terdapat operasi semburan nyamuk Aedes di kawasan tersebut.

Pihak sekolah tidak menolak kemungkinan percikan semburan itu menyebabkan ia terkena kepada makanan yang menyebabkan berlakunya kejadian keracunan makanan tersebut.

Sementara itu, salah seorang pelajar, Mohd Arif Mohd Yusof, 15, berkata hari sebelumnya kesemua penghuni asrama dihidangkan dengan masakan sambal tumis ikan bilis dan sayur lemak putih.

”Pada mulanya saya hanya berasa lenguh badan, namun, selepas beberapa jam, perut saya mula berasa memulas dan mula berasa hendak muntah,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Shamsul Bahari Hashim, 13, berkata, dia juga mengalami muntah dan sakit perut kira-kira jam 3 pagi dan beberapa kali berulang alik ke tandas.

”Saya kemudian dibawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan dan dibenarkan pulang selepas menerima rawatan,” katanya. - Sinar Harian

[16 Juta] Tunggakan Cukai Bandar - 60,000 Dicari

Kongsi Bersama Rakan Anda Di Facebook

KOTA BHARU – Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) kini giat memburu 3,000 pegangan yang dikenal pasti memiliki tunggakan tegar cukai bandar dan liat untuk menjelaskan bayarannya.

Penolong Pengarah Perhubungan Awam MPKB-BRI, Azman Mohd Daham berkata, jumlah keseluruhan tunggakan cukai bandar sehingga kini ialah RM16 juta melibatkan 60,000 pegangan.

Menurutnya, kebanyakan mereka yang masih berdegil ini melibatkan pemilik hotel-hotel bajet, rumah kediaman dan premis perniagaan.

“Sebelum ini kita memberi peluang rundingan pembayaran melalui jawatankuasa tunggakan cukai dan juga serahan surat peringatan. Langkah terakhir bagi yang masih berdegil ialah penyitaan menerusi waran akan dijalankan.

“Tindakan waran adalah tindakan terakhir dan pada tahun 2010 sahaja sebanyak 1,128 pegangan yang terlibat dengan tunggakan sudah dipanggil untuk rundingan penyelesaian serta daripada jumlah berkenaan kita menyerahkan 122 notis peringatan,” katanya semalam ketika ditemui di pejabatnya.

Semalam MPKB-BRI juga menjalankan Operasi Waran Tunggakan Cukai Bandar 2010 melibatkan empat pegangan dan dua daripadanya bersetuju untuk melakukan rundingan manakala dua lagi melakukan pembayaran menggunakan cek ketika anggota penguat kuasa mengunjungi premis masing-masing.

Menurutnya, dalam operasi yang bermula jam 9.30 pagi semalam di sebuah rumah dekat Jalan Tengku Ismail dan premis perniagaan terletak di Jalan Semerak, sebanyak RM10,500 dikumpulkan selepas mereka membayarnya menerusi cek dan tiada premis disita.

Azman berkata, sehubungan itu, pihaknya akan meneruskan operasi selama tiga hari bermula semalam terhadap 22 pegangan yang melibatkan jumlah tunggakan sebanyak RM54,648.38 sehingga Jun tahun ini meliputi tiga premis perniagaan dan 19 rumah kediaman.

“Mereka ini bukannya tidak menerima notis peringatan dan sebagainya tetapi disebabkan malas membayar dan juga sikap memandang remeh terhadap notis yang dihantar sehingga menyebabkan jumlah bayaran tertunggak dan akhirnya terpaksa disita.

“Kami berharap mereka yang menerima notis dan juga pemilik harta yang perlu menjelaskan cukai bandar supaya melaksanakan tanggungjawab mereka sebelum tindakan sita dikenakan,” katanya.

Dalam pada itu, sebagai galakan bagi membayar cukai MPKB-BRI menyediakan pelbagai hadiah untuk cabutan bernilai RM100,000 termasuk sebuah kereta Proton Exora dan pada tahun ini.

Jumlah kutipan cukai tahunan MPKB-BRI menunjukkan peningkatan bermula sejak tahun 2007 dengan kutipan kira-kira RM15.7juta, tahun kemudiannya sebanyak RM17 juta, sejumlah RM18.2 juta pada tahun lalu dan tahun ini dijangkakan bertambah kepada RM22 juta. - Sinar Harian

Tempat-tempat Menarik Di Kelantan - Kebudayaan

Kongsi Bersama Rakan Anda Di Facebook

Bank Kerapu (Memorial Perang Dunia Ke II)

Terletak di Jalan Sultan, Kota Bharu bersebelahan Padang Merdeka. Ia merupakan bank pertama yang dibina di Kelantan. Semasa pemerintahan Jepun, bangunan ini merupakan ibu pejabat bagi tentera Jepun "Kampetai". Masyarakat Kelantan menggelarkan bangunan ini sebagai Bank Kerapu kerana sebahagian daripada permukaan bangunaan ini di simen dengan menggunakan batu-bata kecil yang menyebabkan permukaannya tidak rata.
Bangunan Bank Kerapu terletak di sebelah Hilir Padang Merdeka. Bangunan tersebut siap dan mula digunakan pada tahun 1912, sebagai Bank pertama Kota Bharu, iaitu "The Mercatile Bank of India Ltd".

Dalam tahun 1914-1945 Negeri Kelantan telah diperintah oleh tentera Jepun. Bangunan Bank ini telah digunakan sebagai pejabat kepada polis rahsia Jepun (Kempetai). Bangunan ini kemudiannya dijadikan pejabat, lokap, tempat siasatan, tempat penderaaan dan lain-lain keganasan mereka.
Bila Jepun menyerah kalah dan Inggeris kembali memerintah negeri ini, bangunan ini digunakan semula sebagai bank. Tahun 1977 nama Bank tersebut bertukar kepada ‘The Hongkong & Shanghai Banking Corporation". Tahun 1981 bangunan ini dijadikan Balai Senilukis dan Kraftangan Kelantan. Mulai tahun 1992 bangunan ini digunakan sebagai Memorial Peperangan Dunia Ke II di Kelantan.

Galeri Info Tengku Anis

Dibina pada tahun 2002 dan mula dirasmikan pada tahun 2004. Geleri ini terletak di dalam kawasan Pengkalan Kubur iaiatu berhampiran dengan muara sungai Golok. Di dalamnya menempatkan galeri nelayan serta pusat maklumat muka bumi kawasan Muara. Ia juga sesuai kepada para pelajar sekolah yang ingin membuat kajian serta untuk mendapat maklumat mengenai perkara yang berkaitan dengan nelayan dan untuk mengetahui bentuk muka bumi kawasan sekitarnya. Kawasan galeri ini juga sesuai dijadikn kawasan rekreasi kerana mempuayai prasarana seperti kawasan permaiann kanak-kanak, tempat memancing dan juga sesuai sebagai tempat berkelah. Kawasan rekreasi ini juga disediakan kedai makan untuk para pengunjung.

Bulatan Merdeka

Bulatan Merdeka ini adalah satu tempat berlakunya banyak sejarah kemerdekaan di mana di tempat inilah pengisytiharan kemerdekaan Malaysia di lakukan pada 31 Ogos 1957. Padang Merdeka digunakan dengan sepenuhnya setelah Istana Besar siap dengan sepenuhnya. Kini ia juga dikenali sebagai Padang Bank.



Gelanggang Seni

Gelanggang Seni Merupakan pusat pameran khazanah budaya dan kesenian yang diwarisi oleh orang-orang Kelantan sejak turun-temurun. Pertunjukan kebudayaan dan kesenian sering diadakan di gelanggan ini termasuklah pertunjukkan Wayang Kulit, Seni Silat, Permainan Gasing, Wau di samping persembahan muzik tradisional Kelantan yang unggul dan unik.
Gelanggan ini dibuka 3 kali seminggu pada bulan Mac sehingga Oktober setiap tahun. Waktu persembahan : Jam 3.30 hingga 5.30 petang pada hari Isnin, Rabu dan Sabtu. Pertunjukkan malam juga di adakan pada hari Rabu dan Sabtu bermula jam 9.00 hingga larut malam.

Istana Batu

Istana Batu direkabentuk dan dibina pada tahun 1939 bersempena dengan pemerintahan Sultan Ismail I. Ia digunakan sebagai tempat untuk menyambut perayaan seperti perayaan perkahwinan diraja dan sebagai tempat penginapan tetamu kehormat.
Namun kini, ia telah diubah dan dijadikan sebagai Muzium DiRaja, di mana segala pakaian diraja dan barangan istana kepunyaan Sultan yang sebelumnya dipamerkan di sini. Ini termasuklah barangan perak, barangan di dalam bilik peraduan raja, dan perkakasan istana diraja. Terdapat juga pertunjukkan gambar grafik sepanjang hayat Sultan Kelantan.

Waktu lawatan : 8.30 am - 4.45 petang setiap hari (kecuali hari Jumaat).
Bayaran : RM2

Istana Balai Besar

Dibina sewaktu pemerintahan Sultan Mahmud II pada 1940, Istana Balai Besar merupakan Istana Bersemayam Sultan-sultan Kelantan yang terdahulu. Kini istana ini digunakan untuk mengadakan majlis-majlis rasmi negeri. Diperkarangan istana ini terdapat sebuah Balai Mengadap yang luas, Balai Takhta Singgahsana dan ruangan pameran yang memaparkan berbagai koleksi barangan dan alat-alat kebesaran Di Raja.

Istana Jahar

Istana Lama atau lebih dikenali sebagai Istana Jahar dibina pada tahun 1887, oleh Sultan Muhamad II, khas untuk cucunya iaitu Long Kundur. Namun kini ia telah dijadikan sebagai Muzium oleh Kerajaan Negeri. Pelbagai gambar dan artifak yang dipamerkan di sini sentiasa menarik minat pelawat. Waktu lawatan : 8.30 pagi - 4.45 petang setiap hari (kecuali Jumaat)

Kampung Kraftangan dan Muzium Kraftangan

Kelantan kaya dengan pelbagai jenis barangan kraftangan seperti barangan perak, songket, batik dan ukiran kayu. Barangan ini dipamerkan dan dijualkan kepada orang ramai. Barangan ini boleh diperolehi dengan mudah di Kampung Kraftangan dan Muzium Kraf. Ia terletak berhampiran dengan Istana Balai Besar dan di buka sepanjang minggu kecuali hari Jumaat bermula 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Masjid Negeri Setelah mengambil masa sepuluh tahun untuk dibina, Masjid Negeri ini disiapkan sewaktu pemerintahan Sultan Ismail IV. Ia juga dikenali sebagai Masjid Al-Muhammadiah atau Masjid Batu, kini masjid ini turut menjadi tumpuan para ulamak dan pendakwah yang menjalankan aktiviti dakwah Islamiah di negeri ini.

Muzium Kuala Krai Dan Zoo Mini

Terletak lebih kurang 64 km dari Kota Bharu, Zoo Mini menempatkan berbagai jenis haiwan seperti beruang, rusa, kera dan burung-burung.
Manakala Muzium Kuala Krai pula mempamerkan berbagai barangan seperti koleksi haiwan terawet, gambar-gambar, dokumen-dokumen lama mengenai sejarah pembangunan Pekan Kuala Krai. Waktu lawatan : 9.00 pagi - 6.00 petang setiap hari (kecuali hari Jumaat).

Kafa dijangka senarai 3 calon

Kongsi Bersama Rakan Anda Di Facebook

KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dijangka mencalonkan tiga pemimpinnya untuk merebut jawatan pada pemilihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) 31 Julai ini.

Mereka ialah Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa, yang dijangka bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden; Naib Presiden Rosmadi Ismail sebagai Ahli Majlis FAM, manakala Datuk Affandi Hamzah yang juga Naib Presiden Kafa, mempertahankan jawatan sebagai Naib Presiden FAM.

Ketiga-tiga mereka dikatakan telah bersedia untuk bertanding jawatan tersebut, termasuk Affandi bagi mempertahankan jawatan yang disandangnya untuk penggal kedua.

Pencalonan itu dibuat atas keyakinan banyak pihak terhadap kredibiliti Annuar untuk membantu Sultan Ahmad Shah membawa bola sepak negara pada kedudukan yang lebih baik.

Menurut sumber dalaman Kafa, ketiga-tiga mereka mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang dalam membangunkan bola sepak di Kelantan, selepas sekian lama negeri itu terperosok dalam saingan liga bola sepak tempatan.

“Kami yakin terhadap kepimpinan Annuar dengan dibantu Rosmadi kerana mereka telah membuktikannya dengan membawa kejayaan demi kejayaan kepada pasukan Kelantan.

‘‘Malah, The Red Warriors (TRW) kini menjadi fenomena di Kelantan, rata-rata rakyat negeri ini bercakap tentang pasukan ini.

“Anuar berjaya memberi suntikan baru kepada bola sepak negeri ini dan menjadikan sukan ini sebagai satu industri yang kian berkembang dengan mewujudkan barangan cenderahati rasmi serta kafe atas jenama TRW,” kata sumber tersebut kepada Utusan Malaysia, semalam.

Kelantan menunjukkan prestasi yang amat mengagumkan pada saingan Liga Super dan Piala Malaysia, sejak dua musim lalu.

Pemilihan kepimpinan tertinggi FAM untuk penggal 2010/2014 menarik perhatian banyak pihak apabila Timbalan Presiden, Khairy Jamaluddin dilaporkan tidak akan mempertahankan jawatan tersebut.

Annuar sebelum ini dilaporkan berkata, beliau masih memikirkan sama ada untuk bertanding sebagai Timbalan Presiden FAM.

Beliau juga tidak mahu membuat sebarang kenyataan awal berhubung pendiriannya, dikhuatiri boleh menimbulkan andaian atau kontroversi.

Selain beliau, lima nama lain disebut-sebut untuk mengisi jawatan itu termasuk seorang lagi penyandang jawatan Timbalan Presiden, Datuk Redzuan Tan Sri Sheikh Ahmad; bekas penyandang jawatan itu, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah; Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim; Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh dan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Datuk Mokhtar Ahmad.

Bagaimanapun, semalam Shahidan mengumumkan untuk menarik diri daripada bertanding manakala Tengku Abdullah menyatakan kesediaan untuk kembali ke dalam kepimpinan tertinggi bola sepak negara.

Bagi jawatan Naib Presiden pula, sebanyak 12 pencalonan diterima dan ini bakal menyaksikan perebutan paling sengit untuk jawatan tersebut.

Menurut sumber itu lagi, dalam tempoh tiga tahun, pasukan Kelantan di bawah pimpinan Annuar bersama barisan ahli majlis yang lain telah mencipta kejayaan memberangsangkan apabila berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia dan Piala FA.

“Kesemua ini dilakukan dalam masa yang singkat tanpa bantuan kerajaan negeri dan kemudahan prasarana yang baik seperti negeri-negeri lain.

‘‘Malah, pengurusan Kafa berada dalam keadaan terbaik pada masa kini.

“Kini TRW berada pada kedudukan kedua Liga Super dan yakin mampu untuk mencabar kedudukan Selangor sebagai pendahulu,” katanya.

Monday, July 12, 2010

(Keputusan STPM 2010) - Kelantan Sasar 100 Peratus

Kongsi Bersama Rakan Anda Di Facebook



KOTA BHARU 12 Julai - Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan menyasarkan kelulusan 100 peratus dalam semua mata pelajaran pada peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun ini.

Pengarah JPN Kelantan, Hussain Awang berkata, pihaknya turut menyasarkan peningkatan bilangan calon yang mendapat gred A bagi semua mata pelajaran kepada 40 orang berbanding 30 calon pada tahun lalu.

Beliau berkata, kedua-dua sasaran itu mampu direalisasikan berdasarkan komitmen serta kerjasama dari semua pihak termasuk sekolah dan guru-guru.

"Jika tahun lepas kita hanya menduduki tempat kedua, untuk tahun ini kita mahu berada di tempat pertama untuk STPM," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Tingkatan Enam di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putera di sini.

Menurut Hussain lagi, sasaran untuk meningkatkan bilangan calon yang mendapat semua A, mampu dicapai berdasarkan keberkesanan program "Kem Skor A" yang dijalankan oleh pihak jabatan sepanjang tahun lalu.

Program itu, katanya, dirangka secara khusus melibatkan semua pelajar STPM di seluruh negeri yang dikumpul secara serentak pada awal dan hujung minggu setiap bulan.

"Program ini melibatkan tujuh siri yang akan menjelajah setiap daerah di negeri ini dan program ini sudah pun memasuki siri keempat.

"Kesemua pelajar yang terlibat dalam program ini dipilih oleh pihak sekolah berdasarkan prestasi dan keputusan peperiksaan yang dicapai oleh mereka," jelasnya.

Tambahnya, program ini bukan sahaja memberikan penekanan dalam teknik menjawab soalan dan cara belajar yang berkesan, tetapi turut menyelitkan elemen jati diri dan pembinaan sahsiah pelajar sebelum melangkah ke menara gading.

"Sambutan dan kerjasama yang diberikan oleh para pelajar serta mereka yang terlibat dalam program ini cukup membanggakan.

"Inilah peluang terbaik kepada pelajar luar bandar dan bandar untuk sama-sama bersaing secara sihat serta berkongsi pengalaman untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran," katanya.

Mengulas mengenai karnival tersebut pula, Hussain berkata, program berkenaan amat baik sebagai pendedahan buat pelajar yang akan menduduki STPM.

"Melalui program ini, kita dapat memberikan pengetahuan dan ilmu tentang peluang yang ada untuk para pelajar tingkatan enam," katanya.

(Pewaris Saadong) - Tengku Putri Anis Tidak Diiktiraf

Kongsi Bersama Rakan Anda Di Facebook



BACHOK: Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan, tidak mengiktiraf seorang gadis yang mengaku sebagai kerabat keturunan ketujuh Puteri Saadong berasal daripada keturunan Raja Jembal kerana terdapat keraguan dalam dakwaan itu.

Pengerusi pertubuhan, Nik Yusuf Nik Muhamad, berkata mereka sudah mengenal pasti latar belakang dan nama sebenar gadis itu yang disyaki bukan keturunan sebenar Puteri Saadong.
"Kita tidak mengiktiraf pengakuan gadis itu dan semua dakwaannya diragui kebenarannya," katanya di sini.
Nik Yusuf berkata, pertubuhan itu sedang menyiasat dakwaan gadis tersebut dengan mendapat pandangan daripada Persatuan Sejarah Negeri Kelantan dan Perbadanan Muzium Negeri manakala satu seminar sedang dirangka untuk membincangkan isu itu bagi mencari titik pertemuan untuk menentukan kesahihan lagenda Puteri Saadong dan salasilah mengenainya.

Beliau berkata, pertubuhan itu mengakui rupa paras Raja Tengku Putri Anis Raja Sazali, 24, seiras dengan kerabat Raja Jembal tetapi dakwaan bahawa beliau adalah waris keturunan ketujuh Puteri Saadong masih tidak diiktiraf.

Nik Yusuf berkata, pihaknya terkilan kerana Raja Tengku Putri Anis membuat pengakuan itu tanpa merujuk terlebih dulu kepada pertubuhan itu.

Katanya, upacara pemasyuran Raja Tengku Putri Anis sebagai Sri Ratu Ketujuh Saadong sempena mengakhiri apa yang dikatakan sumpahan tujuh keturunannya baru-baru ini tidak wajar dilakukan sebelum dakwaan berkenaan dibuktikan.
Beliau berharap, gadis itu dapat mengadakan pertemuan dengan pertubuhan berkenaan yang mempunyai lebih 2,000 ahli untuk mengkaji salasilah dan kebenaran dakwaannya itu.

"Apa yang saya baca dalam akhbar, beliau ada berjumpa dengan begitu ramai ulama untuk mengesan susur galur keluarganya tetapi tidak dengan kita," kata Nik Yusuf.

Raja Tengku Putri Anis yang mendakwa dirinya adalah waris ketujuh kepada Puteri Saadong yang kisah sejarahnya disaluti mitos dan legenda.

Raja Tengku Putri Anis berkata, sudah sekian lama beliau menyimpan rahsia yang dibawa daripada generasi ke generasi dan tampil hampir pada saat dikatakan berakhirnya sumpahan Puteri Saadong yang merajuk membawa diri ke Acheh di Indonesia.

Menurut cerita, Puteri Saadong meninggalkan sumpahan 420 tahun lalu dengan kata-kata:

"Kutinggalkan rakyat, kutinggalkan negeri, kutinggalkan harta, kutinggalkan segala. Merajuk diriku sehelai sepinggang, lalu berlabuh di tempat asalku, di mana bumiku pijak, di situ langit kujunjung, aku bersumpah tak lagi ku injak negeri Kelantan sehingga cukup tujuh keturunan."

Nik Yusuf berkata, beliau tidak mempercayai kewujudan sumpahan itu dan ia hanya ditimbulkan dalam mitos dan cerita dongeng mengenai Puteri Saadong.

"Malah, banyak pihak pernah membuat dakwaan sebelum ini bahawa mereka juga adalah kerabat Raja Jembal tetapi apabila kajian dibuat ia ternyata tidak benar," katanya. - Bernama

(Masalah Air Berkeladak) - Kesedar Ambil Langkah Atasi

Kongsi Bersama Rakan Anda Di Facebook



KUALA KRAI, 12 Julai (Bernama) -- Masalah air berkeladak akibat kerja-kerja pembukaan tanah di kawasan tadahan yang dihadapi hampir 800 penduduk di kawasan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Sungai Sam, dekat sini dijangka dapat diatasi dalam masa terdekat.

Pengurus Besar Kesedar, Mohd Arshad Ismail, berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan untuk memasang telaga tiub bagi mengatasi masalah penduduk di situ dan sekitarnya yang membabitkan kos RM200,000.

"Ini adalah salah satu daripada tindakan segera pihak kami dalam mengatasi masalah bekalan air yang dihadapi penduduk terbabit sejak beberapa bulan lepas," katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan pusat tadahan air di Bukit Pinang Rancangan Pemulihan Tanah Kesedar (RPT) Sungai Sam, dekat sini Isnin.

Selain itu, katanya, Kesedar dengan kerjasama jawatankuasa kemajuan peneroka akan membuat kajian untuk mencari punca baru air yang mampu menampung keperluan penduduk di kawasan berkenaan, sebelum melaksanakan rancangan jangka panjang projek bekalan air di kawasan itu.

"Kami amat bersimpati dengan penduduk, bukan sahaja menghadapi masalah bekalan air minuman bersih, tetapi juga untuk mencuci pakaian sekolah anak-anak," katanya.

Menurutnya Mohd Arshad, sebanyak 197 buah rumah terlibat dengan penggunaan air berkeladak dari pusat tadahan air Bukit Pinang sejak beberapa bulan lepas.

Beliau berkata, pihaknya juga akan berunding dengan pihak berkuasa kerajaan negeri menerusi Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) untuk membekalkan air bersih menerusi projek pembangunan bekalan air di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Katanya, lebih RM6 juta diperuntukkan bagi membiayai projek itu yang mampu menyalurkan air bersih kepada kira-kira 3,000 peneroka Kesedar, termasuk di kawasan RPT Sungai Sam.

"Untuk itu, kami akan berunding dengan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerjaraya, Utiliti dan Alam Sekitar Negeri, Mejar (B) Mohd Anizam Abdul Rahman, tidak lama lagi," katanya.

Beliau meminta para peneroka supaya bersabar kerana sesetengah projek yang hendak dilaksanakan itu perlu dikaji apabila membabitkan bidang kuasa kerajaan, terutama tanah.



-- BERNAMA

(Ingkar Arahan Bomba) - Hotel Bajet Akan Disaman

Kongsi Bersama Rakan Anda Di Facebook



KOTA BAHARU, 13 Julai (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan akan mengambil tindakan tegas termasuk mendakwa di mahkamah terhadap pengusaha hotel bajet yang gagal mematuhi peraturan keselamatan kebakaran yang ditetapkan.

Pengarahnya Mohd Azmi Othman berkata penerangan mengenai kesalahan yang dilakukan oleh pengusaha telah dibuat dan jabatan kini menunggu tindakan lanjut pengusaha memperbetulkan kesalahan itu.

"Saya harap pengusaha mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh undang-undang sebelum menjalankan perniagaan hotel bajet," katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan di sini, hari ini.

Seramai 64 orang menerima pingat dan sijil khidmat cemerlang disampaikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Datuk Hamzah Abu Bakar dan dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan jabatan itu di sini.

Mohd Azmi berkata pengusaha hotel tidak boleh memandang ringan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan dan tindakan tegas akan diambil selepas tempoh tiga bulan notis dikeluarkan.

Beliau berkata antaranya laluan kedua, pintu rintangan api, alat pemadam api dan jenis pintu yang ditetapkan menggantikan pintu biasa yang digunakan oleh pengusaha terbabit menjalankan perniagaan.

"Ada pintu dibina dengan plywood yang memang tidak boleh diguna dan mudah terbakar," katanya.

-- BERNAMA

Saupe Usahawan Cokelat Buatan Tangan Pertama Di Kelantan

Kongsi Bersama Rakan Anda Di Facebook


JELI, 13 Julai (Bernama) -- Ingin menikmati cokelat buatan tangan yang enak dan halal dengan pelbagai bentuk yang menarik dan unik mengikut cita rasa? Soufe's Chocolate adalah jawapannya.

Di sebalik pelbagai persepsi negatif masyarakat tentang cokelat tempatan yang dikatakan tidak selazat cokelat import, Mohd Saupe Zakaria, 48, anak jati Bukit Bunga dekat sini tetap yakin potensi industri tersebut sangat cerah.

Justeru, beliau yang kini merupakan satu-satunya pengusaha cokelat buatan tangan di Kelantan nekad mengusahakan perniagaan tersebut bagi membuktikan cokelat mampu memberi pendapatan lumayan sebagaimana industri lain.

"Siapa sangka pelbagai golongan, baik yang kecil sehinggalah yang tua, semuanya menggemari cokelat. Apa yang membezakan adalah cita rasa mereka sama ada suka pada cokelat yang asli tanpa campuran atau cokelat yang dicampur dengan kacang, emping atau sebagainya.

"Inilah yang membuka mata saya pada awalnya untuk menceburi bidang pembuatan cokelat buatan tangan ini kerana cokelat sebenarnya satu industri yang cerah dengan permintaan tinggi diperoleh daripada pelanggan, apatah lagi di Kelantan yang mana belum ada lagi golongan Melayu yang benar-benar serius mengusahakan perusahaan ini dan ia satu cabaran buat saya," katanya kepada Bernama di sini.

Dengan modal permulaan RM10,000, Mohd Saupe berkata beliau memulakan perniagaan yang beroperasi di kediamannya di Bukit Bunga dengan jiran dan saudara mara sebagai 'juri' yang menguji rasa cokelat buatannya.

Beliau berkata biarpun peniagaannya masih di tahap kecil-kecilan dan baru beroperasi selama lima bulan, potensi perusahaan itu jelas kelihatan apabila bukan sahaja individu bahkan pihak hotel, pasaraya, jabatan kerajaan mahu pun mereka yang ingin mengadakan kenduri perkahwinan dari pelbagai negeri sanggup turun ke negeri ini bagi menempah cokelat buatannya.

"Saya menyertai kursus dan mempelajari kaedah menghasilkan cokelat dengan Lembaga Koko Malaysia dan sehingga kini setiap hari saya mampu mengeluarkan kira-kira 20 kilogram sehari cokelat dari buah koko," katanya.

Menariknya, cokelat buatan tangan jenama Soufe's Chocolate ini tidak terhad kepada satu bentuk sahaja, tetapi ianya dibuat mengikut cita rasa dan tempahan pelanggan.

"Biasanya coklat dibuat bentuk bulat, bentuk bar atau bentuk hati tetapi Soufe's Chocolate menawarkan lebih dari itu. Sebagai contoh, kami membuat coklat berbentuk segi tiga, berbentuk bintang dan juga berbentuk seperti cincin untuk majlis perkahwinan, mengikut cita rasa pelanggan," katanya.

Menurutnya, antara perisa coklat yang dikeluarkannya termasuk perisa strawberi, oren, kismis, nenas, salutan kelapa, salutan gempang, gajus, emping jagung dan bertih, juga mengikut cita rasa yang digemari pelanggan.

Selain itu, demi menyahut seruan kerajaan yang menggalakkan industri pemprosesan makanan, Mohd Saupe berkata beliau juga menjual cokelatnya dengan harga yang berpatutan, iaitu antara RM4.50 sehingga RM25.00 sahaja bergantung pada saiz dan berat cokelat berkenaan.

-- BERNAMA

(Sukan Di Kelantan) - Kerajaan Negeri Tidak Bantu?

Kongsi Bersama Rakan Anda Di Facebook


MACHANG, 13 Julai (Bernama) -- Kerajaan negeri Kelantan tidak pernah membantu Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) daripada segi kewangan dalam mengharungi saingan Piala Malaysia dan Piala Liga Super, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata ia jauh berbeza berbanding dengan kerajaan Kedah yang juga di bawah pimpinan Pas yang telah menyumbang RM2 juta setahun kepada persatuan bola sepak negeri itu.

Berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda Umno Bahagian Machang di sini Isnin malam, Ahmad Shabery berkata apa yang mengejutkan ialah apabila Kelantan berjaya memasuki perlawanan akhir, bendera Pas dinaikkan di stadium bagi mengaburi mata rakyat Kelantan seolah-olah parti itulah yang berusaha menaikkan imej bola sepak Kelantan.

Ahmad Shabery juga membidas kerajaan negeri kerana enggan meluluskan tapak bagi pembinaan gelanggang futsal di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri Kelantan.

"Sehingga ini kita hanya berjaya membina 15 daripada 90 gelanggang yang diluluskan kepada Kelantan untuk belia mengadakan kegiatan, itupun sebahagianya dibina di kawasan sekolah yang tapaknya dimiliki kerajaan Persekutuan," katanya.

Naib Presiden Kafa, Rosmadi Ismail, berkata bahawa sejak beliau memegang jawatan itu pada tahun 2000, persatuan tidak pernah menerima sebarang peruntukan daripada kerajaan negeri.

"Malahan Kafa terpaksa mendapatkan punca kewangan daripada pihak lain dengan mencari penaja dan juga memohon bantuan daripada kerajaan pusat," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata Kelantan bernasib baik kerana memiliki peminat yang ramai dan ada yang sanggup menghulurkan bantuan kepada Kafa demi kemajuan sukan bola sepak negeri.

Namun, menurut Rosmadi, kerajaan negeri pernah menghulurkan ganjaran kepada pemain untuk menunaikan umrah selepas Kelantan berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia tahun lepas.

Pada November tahun lepas, Presiden Kafa Tan Sri Annuar Musa memohon geran RM2 juta daripada kerajaan negeri untuk pasukan Kelantan beraksi dalam saingan Liga Malaysia tahun ini tetapi sehingga kini persatuan itu dikatakan belum menerimanya.

-- BERNAMA

TPM ke Kelantan Pada Rabu Ini

Kongsi Bersama Rakan Anda Di Facebook


JELI: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengadakan lawatan kerja sehari ke Kelantan, Rabu ini, menurut Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata dalam lawatan kerja itu, Timbalan Perdana Menteri dijadual menghadiri enam program iaitu tiga di daerah Jeli dan tiga di daerah Tanah Merah.
Lawatan Timbalan Perdana Menteri itu dimulakan pada sebelah pagi dengan melawat tapak Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), Bukit Bunga, Jeli dan mendengar taklimat mengenai status pelaksanaan projek berkenaan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Imigresen.
Beliau kemudian dijadual melawat Pusat Dakwah Jeli bagi mendengar taklimat mengenai aktiviti dakwah serta pendidikan Pusat Dakwah Jeli oleh Pejabat Pelajaran Daerah Jeli.

Tengah hari, Muhyiddin akan menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di Dewan Orang Ramai Bukit Nangka.

Pada sebelah petang, Timbalan Perdana Menteri dijangka ke Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah 1 di Tanah Merah bagi merasmikan Karnival Rakyat Parlimen Tanah Merah.

“Muhyiddin dijangka menyampaikan wang Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP) kepada Pejabat Pelajaran Daerah Tanah Merah, selain menyampaikan sumbangan UMNO Tanah Merah kepada sekolah-sekolah di Tanah Merah, Jabatan Persekutuan di Tanah Merah dan Majlis Daerah Tanah Merah,” kata Mustapa.
Selepas majlis itu, Timbalan Perdana Menteri dijadual ke Pejabat UMNO Bahagian Tanah Merah bagi merasmikan bangunan tersebut.

Beliau berkata, Timbalan Perdana Menteri akan mengakhiri lawatan kerjanya dengan menghadiri program tinjauan mesra bersama rakyat Tanah Merah di Restoran Nafas berhampiran pejabat UMNO.

Mustapa berkata, Muhyiddin kemudian dijangka berlepas pulang ke Kuala Lumpur melalui Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Badak, Terengganu. - Bernama

(Liga Super) - Kelantan Masih Berpeluang

Kongsi Bersama Rakan Anda Di Facebook

KOTA BHARU - Sama kuat dan sama hebat, itulah di sebalik cerita pertemuan dua jaguh bola sepak tempatan, Kelantan dan Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam yang berkesudahan terikat 1-1.

Ibarat pentas akhir, kedua-dua pasukan bagaikan dirasuk apabila mempamer aksi bertenaga dengan berbalas-balas serangan seolah mampu menjulang kejuaraan Liga Super biar pun masih berbaki empat perlawanan.

Jurulatih Kelantan, B. Sathianathan berkata, beliau terpegun dengan semangat juang pemainnya yang mempamer aksi mantap untuk bangkit walaupun dikejutkan dengan jaringan awal tuan rumah.

Katanya, walaupun gagal mendapatkan tiga mata pada perlawanan itu, persembahan yang dipamer oleh anak-anak buahnya cukup membanggakan dan peluang Kelantan untuk memburu kejuaraan masih terbuka.

"Saya percaya kita boleh bermain lebih baik lagi dalam perlawanan malam semalam. Namun begitu, benteng pertahanan kita pula tidak berfungsi dengan baik dan terlalu banyak memberi ruang kepada pasukan lawan.

"Baki rehat yang ada ini akan digunakan sebaiknya untuk memperbaiki kelemahan yang ada sebelum menentang Kuala Lumpur di Cheras Sabtu ini. Selepas ini, kita tidak lagi boleh kehilangan mata dalam setiap baki perlawanan yang bakal di tempuh," katanya ketika dihubungi semalam.

Sathianathan menambah, perlawanan kelmarin ibarat final kerana beliau percaya kedua-dua penyokong pasukan pasti berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan oleh kedua-dua pasukan.

"Boleh kena sakit jantung juga dibuatnya apabila melihat aksi malam semalam. Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan bahkan tempo permainan yang laju begitu menghiburkan penonton yang berada di stadium," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menghamburkan pujian terhadap sokongan peminat setia Kelantan pada perlawanan itu.

"Mereka tidak putus-putus memberi sokongan biarpun kita ketinggalan pada satu ketika. Sudah pasti saya berbangga kerana mempunyai penyokong seperti ini," ujarnya.

Pada perlawanan kelmarin, Selangor terlebih dahulu berada di depan menerusi Mohd. Amirul Hadi Zainal pada minit ke-59 selepas hasil rembatan padu menewaskan penjaga gol Kelantan, Mohd. Khairul Fahmi.

Gol penyamaan Kelantan hadir pada minit ke-64 menerusi ketua pasukan, Indra Putra Mahayuddin selepas menanduk masuk hantaran silang Nor Farhan Muhammad dari sebelah kanan.

Keputusan seri ini menyaksikan Kelantan terus menghambat pendahulu liga super Selangor yang hanya dibezakan dengan lima mata. - Utusan Malaysia

Sunday, July 11, 2010

Kerajaan Kelantan Masih Mampu Bayar Gaji

Kongsi Bersama Rakan Anda Di Facebook


Kerajaan PAS Kelantan mampu membayar gaji kakitangannya tanpa berhutang daripada mana-mana pihak, kata Timbalan Pengerusi Pembangunan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Abdul Fatah Harun. Menurutnya dakwaan kononnya kerajaan negeri tidak mampu membiayai gaji kakitangannya jika dapat memerintah negeri ini adalah tidak benar. "Kita (kerajaan negeri) masih mampu membayar gaji kakitangan walaupun mentadbir negeri ini dalam tempoh 20 tahun ini, tanpa perlu berhutang daripada mana-mana pihak termasuk kerajaan Pusaat," katanya kepada Bernama. Katanya perbelanjaan mengurus atau emolumen kerajaan negeri masih mencukupi untuk menampung membiayai gaji kakitangan walaupun mengalami perbelanjaan defisit setiap tahun. "Cuma kerajaan negeri menghadapi masalah perbelanjaan pembangunan yang memerlukan peruntukan daripada kerajaan pusat," katanya. Beliau berkata, dakwaan pemimpin parti politik pembangkang sebelum pilihan raya 1990 kononnya kerajaan negeri hanya mampu membayar gaji kakitangannya dalam tempoh tiga bulan adalah tidak benar. Abdul Fatah yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan berkata kerajaan boleh menggunakan peruntukan daripada mana-mana wang yang disatukan jika menghadapi masalah sumber kewangan untuk menampung pembiayaan gaji kakitangan. "Jadi setakat ini tidak timbul soal kerajaan negeri tidak mampu membayar gaji kakitangan dalam tempoh tertentu seperti dakwaan sesetengah pemimpin parti politik," katanya. Beliau yang juga ADUN Bukit Tuku berkata kerajaan negeri akan lebih bernasib baik jika berjaya dalam tuntutan royalti minyak daripada Petronas. - Malaysiakini

(Perpecahan Dalaman Pas) - Nik Aziz Akui

Kongsi Bersama Rakan Anda Di Facebook

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat semalam mengakui wujudnya perpecahan dalam parti itu apabila meminta agar tidak diadakan sebarang pertandingan merebut jawatan tertinggi termasuk tiga sayap parti itu pada pemilihan Muktamar PAS tahun depan.
Dalam kenyataan yang disuarakan tidak sampai sebulan selepas Muktamar PAS ke-56 bulan lalu, Nik Aziz memberi alasan nasihatnya itu bagi mengelak perpecahan di kalangan ahli dan pengikut PAS.
Menteri Besar Kelantan itu sebaliknya mengesyorkan agar pemilihan diadakan secara perbincangan ataupun melalui syura dan bukannya dengan meletakkan calon untuk bertanding bagi kerusi kepimpinan parti itu dalam Muktamar ke-57 nanti.

“Kehendak saya, seboleh-bolehnya tidak usah bertanding...cuma kita berpakat secara syura. Namun kalau hendak dilakukan bertanding juga, jangan keluar daripada garisan (berlaku perbalahan), tak molek.

“Luahan hati seorang tua (sudah lama dalam PAS) seperti saya, tidak mahu melihat berlaku perpecahan dalam parti. Tapi kalau hendak buat juga...boleh kerana perkara itu halal dalam parti,” katanya selepas merasmikan Sambutan Jubli Emas, Sekolah Menengah Ugama (A) Sullamiah, Bunut Payong, dekat sini, semalam.

Beliau diminta mengulas cadangannya ketika berucap dalam majlis berkenaan yang meminta supaya tidak diadakan pertandingan dalam parti.
Kemelut dalaman PAS timbul pada 2009, apabila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin lain menyokong penubuhan kerajaan perpaduan melalui kerjasama dengan seteru parti itu, UMNO, atas matlamat untuk membela nasib orang Islam di negara ini.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib, berkata setiap pemimpin parti yang dipilih akar umbi untuk memegang sebarang jawatan sentiasa bersikap jujur dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab mereka tanpa mengejar cita-cita tinggi.

Harun berkata, beliau risau akan mengundang persepsi negatif di kalangan segelintir pihak sekiranya pemilihan kepemimpinan tertinggi PAS diadakan secara perbincangan ataupun melalui syura.

“Setakat ini saya tidak melihat berlakunya perpecahan dalam PAS..., jika hendak buat pemilihan menerusi perbincangan ataupun melalui syura..., nanti takut pula ada pihak yang membuat pelbagai andaian,” katanya.

“Setiap pemimpin yang dipilih pada Muktamar PAS sentiasa bertanggungjawab menjalankan tugas masing-masing malah mereka (pemimpin) mahu memberikan khidmat terbaik kepada ahli parti dan juga masyarakat.

“Bagaimanapun, terpulang kepada Majlis Syura PAS untuk membuat keputusan mengenai pemilihan kepemimpinan parti pada Muktamar ke-57 nanti,” katanya. - Berita Harian

Aktiviti bersama janji pelbagai manfaat

Kongsi Bersama Rakan Anda Di Facebook

BACHOK- Melakukan aktiviti bersama menjanjikan pelbagai manfaat yang jarang disedari individu terlibat.

Namun bagi yang peka dengan perubahan persekitaran itu, pastinya dapat merasakan aktiviti bersama dapat meningkatkan kerjasama di kalangan mereka.

Seorang penduduk, Ahmad Saat, 40, ini kerana ia melibatkan banyak pihak dengan pelbagai karenah birokrasi yang secara tidak langsung akan menunjukkan tindak balas berbeza bagi setiap arahan diterima.

“Di situlah peluang untuk kita belajar meningkatkan kerjasama antara satu dengan lain dan tahap kesedaran kerana apa yang orang lain tahu, tidak semestinya kita tahu.

“Jadi bila kita bersama dalam menjayakan sesuatu aktiviti, sekurang- kurangnya kita boleh belajar dan berkongsi maklumat dengan orang lain, dan secara tidak langsung dapat menyedarkan kita tentang erti sebuah kehidupan, “katanya.

Ahmad berkata, walaupun ada yang kurang selesa apabila melakukan aktiviti bersama kerana adakalanya ia menampakkan kelemahan sesuatu pihak, namun tanggapan negatif itu perlu disingkirkan demi melahirkan masyarakat dan proaktif. - Sinar Harian

Pembangunan dilancar secara berperingkat

Kongsi Bersama Rakan Anda Di Facebook


JELI – Pembukaan Bank Muamalat akan menjadi pemangkin pembangunan di Jeli bagi memastikan masyarakat setempat mendapat manfaatnya.

Ahli Parlimen Jeli, Datuk Sri Mustapa Mohamed berkata, dengan pembukaan bank yang kedua di Jeli itu memberikan satu kemudahan kepada warga Jeli amnya untuk berurusan.

“Pembukaan bank tersebut akan memainkan peranan dalam memenuhi kehendak-kehendak penduduk yang memerlukan kemudahan tersebut dan ia merupakan salah satu cara untuk pembangunan masyarakat dekat sini.

“Saya akan memastikan Jeli akan berkembang pesat menjelang tahun 2012 dengan adanya sekolah berasrama penuh, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Politeknik, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) cawangan Jeli, serta pelbagai lagi projek naik taraf yang sedang dijalankan akan membuatkan Jeli akan lebih maju dari daerah- daerah lain di negeri ini,” katanya ketika di temui pada majlis perasmian cawangan Bank Muamalat di Jeli.

Pada majlis itu juga Bank Muamalat memberi sumbangan dalam bentuk akaun simpanan kepada anak-anak yatim serta sumbangan wang kepada empat masjid di sekitar daerah tersebut.

Mustapa berkata, dengan pelbagai kemudahan infrastruktur serta kemudahan perkhidmatan yang disediakan untuk masyarakat beliau berharap lebih ramai lagi akan tertumpu di daerah tersebut.

“Saya akan terus berusaha untuk memajukan Jeli dengan membawa pelbagai lagi kemudahan untuk masyarakat untuk hari-hari mendatang,” katanya.

Bank Muamalat yang memulakan perniagaan pada 1 Oktober 1999, merupakan peneraju institusi kewangan Islam yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan yang berlandaskan syariah. - Sinar Harian

Martabatkan umat Islam

Kongsi Bersama Rakan Anda Di Facebook


KOTA BHARU - Pendidikan bersepadu antara ilmu profesional dan deeniyah yang diterapkan ke dalam 13 program yang ditawarkan Kolej Teknologi Darulnaim (KTD), dekat sini dilihat mampu memperkasakan umat Islam pada masa kini.

Ketua Eksekutif KTD, Abdullah Sudin Abdul Rahman berkata, usaha ini sejajar dengan keprihatinan yang timbul berkaitan masalah yang melanda umat Islam pada hari ini.

“Kita terlalu banyak ketinggalan dalam segenap segi. Hanya dengan pendidikan sahaja mampu mengangkat kembali martabat umat Islam untuk keluar dari segala masalah yang dihadapi hari ini,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun untuk menyelesaikan segala kemelut itu, pendidikan yang diterapkan perlulah disokong bersama golongan profesional yang dinamik.

“KTD yakin bahawa amalan pendidikan bersepadu ini mampu menangani cabaran dalam memberi sumbangan serta membina umah yang cemerlang,” katanya di Majlis Penutupan Induksi KTD 2010, kelmarin.

Tawaran pendidikan yang mantap di kolej tersebut ternyata mampu menarik sejumlah 232 pelajar baru yang mendaftar untuk tempoh pengajian yang akan bermula minggu hadapan.

Seorang pelajar, Mohd Zahir Miamin dari Kota Marudu, Sabah berkata, beliau sanggup meninggalkan keluarga dan kampung halamannya bagi menyambung pengajian dalam kursus Diploma Sains Komputer di kolej terbabit.

“Saya berharap pengalaman berada di KTD ini mampu menjadikan saya seorang pemimpin islamik yang berjaya satu masa kelak,” katanya. - Sinar Harian

Perkasa dekati orang kampung

Kongsi Bersama Rakan Anda Di Facebook

KUALA KRAI - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), bagi kawasan Kuala Krai sini mengadakan program masuk kampung di Kampung Mial dekat sini, semalam, dalam usaha untuk mendekatkan orang Melayu dengan Perkasa.

Yang Di Pertua Perkasa (YDP) Kuala Krai, Alwi Harun berkata, program itu adalah untuk menggerakkan Perkasa melalui pelbagai kaedah dan bukan hanya dikenali melalui ceramah sahaja.

Menurutnya, ia adalah cadangan asal Presiden Perkasa, Datuk Paduka Ibrahim Ali yang mahukan orang Melayu bersatu dan didekati melalui pertubuhan bukan kerajaan seperti ini tanpa pengaruh politik.

“Ini adalah aktiviti julung kami yang melibatkan program turun padang seperti ini untuk mendekati orang Melayu di peringkat akar umbi.

“Presiden Perkasa menyarankan agar program seperti ini dilakukan untuk mendekati orang ramai dalam usaha untuk memberikan penerangan dan matlamat asal Perkasa yang bukannya terlibat dengan politik.

“Sebelum ini, kami hanya mengadakan ceramah untuk mendekati orang Melayu di seluruh negara dalam usaha penyatuan mereka melalui Perkasa,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Katanya, program itu adalah selaras dengan gerakan untuk mengutamakan orang Melayu di bawah peruntukan Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 153.

Alwi berkata, pemilihan penduduk dibuat oleh wakil Perkasa terhadap penduduk di kawasan pedalaman, terutamanya yang kurang berkemampuan dan mengalami sakit kronik.

“Saya berterima kasih kepada semua penyumbang utama terhadap program ini yang kebanyakannya adalah sumbangan ahli Perkasa, ahli perniagaan dan individu di sekitar Kuala Krai.

“Insya-Allah program ini akan diteruskan bagi kawasan lain pula mengikut DUN masing-masing pada masa akan datang,” katanya.

Semalam seramai 17 pesakit dan warga emas bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkebang menerima kunjungan rombongan ahli Perkasa daerah Kuala Krai termasuk Naib YDP 1 Perkasa Kelantan, Azizzuddin Hussein.